KANGAR: Perlis tekad merangkul semula Piala Agong pada perlawanan bertemu Perak yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam esok.
Perlawanan yang diumpamakan bagai Piala Sumbangsih bagi saingan Piala Emas Raja-Raja, adalah ulangan pertemuan kedua-dua pasukan tahun lepas, yang menyaksikan Perak muncul juara.
Menurut Pengurus pasukan Perlis, Mazelan Abdul Hamid, sasaran tersebut adalah berdasarkan kemampuan pasukan itu yang dibarisi gabungan pemain lama yang menjuarai Piala Emas Raja-Raja tahun lepas, serta pemain skuad Piala Presiden.
“Pada kali ini, pasukan kita juga diperkuatkan beberapa pemain skuad Liga FAM yang muncul naib juara liga berkenaan tahun ini, selain mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Norizan Bakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yakin pasukannya memiliki kelebihan berbanding Perak pada perlawanan itu, terutama beraksi di gelanggang sendiri.