KUALA TERENGGANU: Sekurang-kurangnya 50 peratus pemain dari pasukan bola sepak berstatus kelab T-Team akan digugurkan sekiranya didapati ada antara mereka yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan untuk digantikan dengan pemain baharu bagi menghadapi kempen Liga M musim depan.
Menurut Ketua Pegawai Operasinya Mohd Syahizan Mohd Zain, pihaknya terpaksa melaksanakan langkah tersebut bagi memastikan prestasi pasukan T-Team yang akan beraksi dalam Liga Perdana lebih mantap dan hebat.
“Kita akan menggugurkan mana-mana pemain yang tidak dapat membantu pasukan dan mencari pemain baharu untuk menggantikannya,” katanya.
Kata Mohd Syahizan lagi, T-Team akan melepaskan pemain-pemain yang dirasakan lagi diperlukan lebih awal supaya memudahkan mereka untuk menyambung kerjaya dengan pasukan baharu musim depan.
Beliau berkata rata-rata pemain T-Team musim ini terdiri daripada pemain-pemain anak Terengganu.
Justeru pencarian pemain-pemain baharu itu adalah untuk memantapkan pasukan T-Team musim depan terserah kepada jurulatih yang akan mengendalikan pasukan itu nanti.
Beliau berkata pasukan itu akan dikendalikan penolong jurulatih Mohd Azhari Salim sementara ketua jurulatihnya yang berasal dari Croatia, Fomislav Steinbruckner akan kembali ke sini dalam masa terdekat.
Katanya T-Team akan mula latihan 23 Nov di padang Kompleks Sukan Gong Badak.