SEBAHAGIAN daripada Juara Kejohanan Robotik Dunia yang tiba dari World Robot Olympiad – WRO 2015 di Doha, Qatar dan turut sama Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, Rozainum Ahmad di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA). – Foto Ahmad Irham Mohd Noor SEPANG: Kontinjen negara muncul juara keseluruhan Kejohanan World Robot Olympiad (WRO) ke-12 di Doha, Qatar, selepas menewaskan cabaran 43 negara lain.
Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad berkata ia susulan kejayaan memenangi tiga pingat emas, dua perak dan dua anugerah kecemerlangan.
Beliau berkata, kejuaraan itu adalah kali kelima dalam tempoh tujuh tahun. Katanya, kontinjen negara berjaya menebus kekecewaan merampas kembali gelaran tersebut selepas hanya muncul naib juara keseluruhan tahun lalu.
“Kontinjen negara berjaya menewaskan 43 negara lain dalam kejohanan kali ini dan kemenangan ini sangat kami banggakan,” katanya kepada pemberita ketika menyambut kepulangan kontinjen negara dari Doha, Qatar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Doha dari 6 hingga 8 November lalu itu, kontinjen Malaysia terdiri daripada 19 pasukan membabitkan 57 peserta dan bertanding dalam tujuh acara.
Tiga pingat emas negara dimenangi oleh pasukan YC Adventure Kidz dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya dalam kategori Terbuka Sekolah Rendah;
Pasukan Robotist dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, Subang Jaya pula menang kategori Terbuka Menengah Rendah manakala dan pasukan Aramaitee dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah dalam kategori Gen II Bola Sepak.
Wakil YC Adventure Kidz, Lim Yi Hang, 10, berkata pasukannya sangat gembira robot penjelajahan bawah air yang dicipta mereka berjaya menggondol pingat emas.
“Kami berharap ciptaan kami boleh pergi lebih jauh dan dikomersialkan. Kami juga belajar banyak perkara dalam pertandingan ini terutama dalam membuat pembentangan dan bertemu peserta dari negara lain,” katanya.
Bagi wakil pasukan Robotist, C. Jaimishran, 15, pasukannya mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkan projek yang dicipta untuk membantu tugas dan meningkatkan tahap keselamatan pelombong.
“Tahun lalu kami mengambil bahagian tetapi tidak menang. WRO adalah pertandingan yang amat sengit, terdapat banyak pasukan dan banyak projek yang hebat, tetapi kami bekerja keras dan akhirnya menang,” katanya.
Wakil pasukan Aramaitee, Zahin Arif Saiful Azian, 15, berkata robot pasukannya berjaya menewaskan pasukan Greece 5-3 dalam perlawanan akhir Gen II bola sepak.
“Sebelum ini kami sudah beberapa kali bertanding di WRO tetapi hanya berjaya sampai ke suku akhir, kali ini dapat jadi juara, kami sangat berpuas hati,” katanya.
BERNAMA