LANGKAWI: Pelayar harapan negara, Khairunneta Mohd Afendy tekad mahu merebut slot ke Sukan Olimpik 2016 yang bakal diadakan di Rio de Jeneiro , Brazil.
Menurut Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah, Khairunneta akan mewakili Malaysia pada Kejohanan Laser Radial Antarabangsa di Oman mulai 18 hingga 26 Nov ini bagi tujuan tersebut.
“Kita menaruh harapan supaya Khairunneta yang juga pemenang pingat emas pada acara Laser Radial pada Sukan SEA di Singapura pada tahun ini”, katanya.
Kata Afendy lagi, masih belum ada pelayar negara yang layak untuk mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik tahun depan sehingga kini.
Sebelum ini abang Khairunneta, Mohd Khairulnizam merupakan pelayar tunggal negara ke Sukan Olimpik pada tahun 2012 di London.
Oleh yang demikian MYA berharap beberapa pelayar akan melayakkan diri ke sukan itu.
Sementara itu, MYA sedang giat mengadakan persiapan untuk menganjurkan Kejohanan Remaja Dunia di sini mulai 26 Dis sehingga 4 Jan depan, menyaksikan 400 pelayar dari 83 negara dijangka menyertai kejohanan itu.